Persidangan Pengurusan dan Profesional Kinabalu Ke-3 2014

by Thomas G Timin on 24/07/2014

Beri Keutamaan Aspek Modal Insan : Speaker DUN Sabah

18 JUN, RABU – Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak hari ini menyatakan bahawa aspek modal insan memainkan peranan penting dalam tadbir urus sesebuah organisasi.

Beliau berkata, pelaburan modal insan perlu diberi keutamaan dalam organisasi agar mampu menyerlahkan nilai yang boleh dicontohi oleh orang lain.

“Melalui kerangka modal insan, ia harus dijana dengan baik sejak peringkat awal kerana di tangan mereka inilah setiap langkah dan hala tuju digagaskan dan perancangan dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Memperkukuh Ketahanan Modal Insan, Memperkasa Tadbir Urus’ pada Persidangan Pengurusan dan Profesional Kinabalu ke-3/2014 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.

Jelas beliau, dalam usaha kerajaan untuk memperteguhkan modal insan di negara ini, aspek pendidikan dan latihan merupakan asas kejayaan ke arah pembangunan yang lebih cemerlang.

“Melalui pendidikan dan latihan, bukan sahaja potensi yang ada pada diri seseorang dapat dibangunkan bahkan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran lain juga dapat diserapkan dengan secara tidak langsung,” ujarnya lagi.

Usaha komited kerajaan dalam agenda pembangunan modal insan turut dapat dilihat apabila ianya telah dijadikan sebagai salah satu elemen utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada persidangan tersebut, sebanyak tiga buah kertas dibentangkan dihadapan lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai agensi kerajaan dan swasta dari seluruh negara. Hadir sama, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk K.Y. Mustafa.-ZMD

 

DSC_4695 DSC_5063 DSC_4219 DSC_5293 DSC_4336 DSC_5052 DSC_4412 DSC_5361 DSC_4908 DSC_4320 DSC_5440 DSC_4535

Comments on this entry are closed.